Friday, August 15, 2008

Respons Isu: Biarlah UiTM kekal menjadi hak Melayu
Oleh Zainor Said

APAKAH motif dan agenda sebenar pemimpin Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang juga Menteri Besar Selangor, tiba-tiba saja mencadangkan agar Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuka 10 peratus pengambilan pelajarnya kepada bukan Bumiputera, masih menjadi tanda tanya.

Sebagai Menteri Besar, yang juga pemimpin Melayu, kita yakin beliau dapat menjangka cadangan dibuat itu ibarat bermain api yang pasti mencetuskan kemarahan dan bantahan dalam kalangan masyarakat Melayu kerana UiTM yang diasaskan pada tahun 1956 bertujuan menjadi wadah memperjuangkan nasib bangsa Melayu bagi menangani masalah kemunduran dan kemiskinan menerusi pendidikan.

Setelah lebih 50 tahun ditubuhkan, tidak siapa boleh menafikan sumbangan besar UiTM dalam mengangkat martabat bangsa dan melahirkan ramai cerdik pandai Melayu, termasuk tokoh korporat dan pemimpin politik yang banyak memainkan peranan menjayakan agenda bangsa, agama dan negara.

Seperti dijangka, berikutan cadangan Abdul Khalid, lebih 5,000 penuntut UiTM berhimpun di Dataran Shah Alam dan berarak menuju ke perkarangan pintu utama Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi menyatakan bantahan mereka kepada Menteri Besar.

Mujurlah perhimpunan itu berjalan secara aman dan tidak mencetuskan rusuhan yang memburukkan lagi keadaan sehingga membawa kepada penahanan pemimpin pelajar yang mengetuai perarakan. Pelbagai pihak lain termasuk pemimpin Melayu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bumiputera turut melahirkan kekecewaan mereka dan menuntut Menteri Besar memohon maaf di atas keterlanjuran itu.

Sebenarnya isu supaya UiTM dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera sudah beberapa kali dibangkitkan, tetapi bezanya desakan itu sebelum ini datang daripada pemimpin bukan Melayu, dan anehnya kali ini pemimpin Melayu sendiri yang mahukan ia dilaksana.

Kita yakin, bantahan pelbagai pihak khususnya penuntut UiTM sendiri bukan bermakna mereka takut untuk bersaing dengan kaum lain atau menganggap kemasukan mereka menjadi ancaman kepada peluang meraih kecemerlangan.

Kita tidak menafikan malahan cukup bersetuju bahawa dengan adanya pelajar pelbagai kaum dalam sesebuah institusi pendidikan akan menjadikan mereka lebih gigih berusaha seterusnya mewujudkan persaingan sihat memburu kecemerlangan dalam pelajaran. Ia juga mampu mewujudkan interaksi kaum ke arah memperkukuhkan asas perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Bagaimanapun dalam konteks ini, biarlah UiTM terus unggul dengan kecemerlangan pelajar Melayu sebagai bukti kejayaan orang Melayu sejajar dengan prinsip asal penubuhannya. Kita yakin UiTM tidak mungkin menjadi institusi yang meniupkan api perkauman dalam kalangan pelajar Melayu untuk memusuhi kaum lain.

Cadangan Abdul Khalid barangkali berjaya meraih sokongan masyarakat bukan Bumiputera seperti yang diharapkan, lebih-lebih lagi dalam suasana panas pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang bakal menjelang tidak lama lagi. Tetapi hakikatnya, beliau telah mengguriskan perasaan masyarakat Melayu dan menghilangkan keyakinan mereka terhadapnya dalam melindungi kepentingan dan keistimewaan bangsanya sendiri.

Sebelum ini, berikutan desakan kaum bukan Bumiputera untuk mendapat peluang lebih luas di pusat pengajian tinggi kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), akhirnya kerajaan bersetuju memberi peruntukan 10 peratus tempat di Kolej Matrikulasi dan institusi pendidikan di bawah Mara.

Kemudian timbul pula isu pembahagian kuota biasiswa JPA yang menjadi perdebatan hangat apabila kerajaan mengurangkan kuota pelajar Bumiputera daripada 90 peratus kepada 50 peratus. Berikutan itu kuota untuk pelajar bukan Bumiputera melonjak daripada 10 peratus kepada 45 peratus.

Tidak mustahil selepas ini akan ada lagi keistimewaan Melayu yang harus dilepaskan kepada kaum lain sekiranya pemimpin Melayu terus mempolitikkan isu pendidikan sehingga sanggup menggadaikan hak keistimewaan Melayu demi kelangsungan politik mereka.

Kita harus mengambil iktibar daripada semangat permuafakatan dan kesepaduan pemimpin bukan Bumiputera terutama dalam soal pendidikan anak bangsa mereka. Terbukti semangat itu telah menjadi faktor penting mereka maju dan cemerlang dalam pelajaran.

Kita merayu kepada semua pemimpin Melayu, tidak kira sama ada dalam kalangan Umno atau di luar Umno, janganlah terlalu mempolitikkan isu pendidikan sehingga menggadaikan kepentingan dan masa depan anak bangsa kita.

Marilah kita memperteguhkan muafakat dan kurangkan permasalahan dalam soal pendidikan, sebaliknya tampil dengan niat ikhlas untuk membantu meningkat prestasi pelajaran mereka. Jika anak bangsa kita mundur dalam pelajaran, masa depan mereka akan gelap dan tiada jaminan mereka mampu bersaing dengan kaum lain.

-ehsan:Berita Harian

No comments: