Dahulu, sewaktu di asrama, aku akan habiskan waktu hujung minggu dengan membaca novel-novel ini. Antara penulis yang masih aku kenali dan kagumi adalah Ahadiat Akashah. Beliau seorang novelis yang mahsyur di Malaysia dan gaya penulisannya amat mempesonakan pembaca.
Namun sejak menamatkan persekolahan menengah, aku sudah tidak lagi membacanya. Mungkin kerana merasakan diriku sudah matang, aku telah mengubah corak pembacaanku dari novel ke majalah-majalah ilmiah seperti Forbes, Business Week dan Reader's Digest. Bagiku, dengan membaca majalah-majalah ilmiah seperti ini, aku akan memperolehi pengetahuan yang berguna apatah lagi kini aku sedang mengikuti pengajian dalam jurusan perniagaan.
Mungkin juga tubuh dan pemikiranku sudah sebati dengan novel-novel romantis remaja. Perasaan ini sudah tidak dapat disangkal lagi apabila kekasihku meminjamkan sebuah novel yang berjudul "Seharum Kasih". Penulisnya bagiku agak asing, iaitu Aina Emir. Jadi, sangkaanku tulisannya pasti tidak sehebat Ahadiat. Kata kekasihku, novel ini amat menarik. Kisahnya amat berkait rapat dengan hubungan cinta yang kami bina. Tambah menguatkan lagi semangatku untuk membaca novel ini adalah kenyataan kekasihku bahawa isi kandung novel ini amat berkait rapat dengan peristiwa yang baru sahaja kami lalui. Ini semua mendorongku untuk menghabiskan malam Sabtu ini dengan membaca novel.

Sesungguhnya, ternyata novel ini tidak menghampakan. Walaupun baru mengenali novelis ini, namun aku kagum dengan gaya penulisannya yang aku sifatkan setanding dengan Ahadiat. Pada waktu dan ketika ini, aku baru sahaja menghabiskan bab yang kedua, dan apa yang boleh aku katakan, pembinaan plotnya menarik dan susunan ayatnya amat menakjubkan. Justeru, aku mengaharapkan agar binaan klimaks dan penghujung cerita ini sebaik permulaannya yang mengujakan..
"sayang, terima kasih kerana meminjamkan novel ini kepada abang. Abang akan cuba untuk menelusuri novel ini dan mencari apakah persamaannya dengan hubungan kita. terima kasih juga kerana membawa abang kembali meneruskan hobi yang pernah abang tinggalkan..."